DEKORASI RUMAH MENJELANG RAYA
Memandangkan tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 masih berlanjutan, kita semua akan beraya dengan keluarga sendiri di rumah sahaja. Tapi kebanyakan daripada kita tetap mahu memastikan bahawa rumah kita tampil berseri dan dihias cantik. Bagi yang kreatif dan inginkan kelainan, anda boleh mengitar semula benda-benda yang tersedia ada di rumah seperti botol kuih, piring, gelas, sarung kusyen dan alas meja.
1. ALIH PERABOT & CAT DINDING
Jika anda mempunyai ruang tamu yang luas, cuba atur semula susunan sofa dan meja. Himpitkan sofa dengan berlatarkan dinding. Untuk serlahkan sudut ini, hias dinding dengan aksesori atau serikan dengan lampu raya.
Bagi yang memilih ruang makan sebagai sudut utama, anda boleh mengecat semula sebahagian dinding dan tukar warnanya. Menukar warna dinding, kata Cik Amilia, merupakan cara paling efektif untuk mewujudkan perbezaan yang ketara. Tambahan lagi, anda boleh lengkapkan dekor di sudut ini dengan hiasan seperti bekas lilin atau aksesori pilihan yang lain.
2. AKSESORI
Keluarkan koleksi piring, pinggan, mangkuk, gelas dan cawan yang ada di dalam kabinet. Atur mengikut corak dan warna, kemudian padankan dan susun berdasarkan tema dan gaya yang ingin ditampilkan di ruang makan. Contohnya, gaya moden, tradisional atau secara bertema.
Untuk menyerlahkan lagi hiasan di atas meja, hiaskan dengan campuran buah-buahan seperti beri, plum dan anggur atau bunga dan daun segar yang dapat memberikan kesegaran di sudut ini.
3. 'MIX & MATCH'
Penting untuk tetapkan mood yang ingin ditampilkan di ruang tamu. Contohnya redup, cool, neutral atau corak ala gaya Moroccan, geometrik atau berjalur. Padankan sofa dengan selimut atau sofa throw. Ia akan memberikan kontras yang berbeza dan mewujudkan penampilan sofa yang lebih menyerlah.
Jika menggunakan langsir, padankan ronanya dengan pilihan warna sofa throw. Pilih yang ringkas tanpa corak kerana ia mudah dipadankan dengan alas kusyen yang lebih dramatik. Elakkan daripada menghias sofa dengan terlalu banyak kusyen, 3 hingga 5 kusyen sudah memadai.
Penting untuk anda memastikan meja tidak tampil sarat dengan pelbagai aksesori dan hiasan. Berikan ruang yang cukup untuk meletakkan makanan. Selain itu, cahaya lampu di ruang ini juga harus terang. Tidak kira sama ada menggunakan lampu meja atau lampu berdiri, elakkan suasana yang malap lebih-lebih lagi jika anda memilih sudut ini untuk adakan pertemuan Zoom.
4. HIASAN BUNGA
Tetapkan bajet kurang daripada S$50 untuk membeli bunga segar. Hiasan bunga atau dedaun hijau memberikan mood yang berbeza di setiap sudut. Selain meletakkannya di atas meja, anda juga boleh menggantung bunga pasu kecil di dinding di ruang tamu. Jika ingin membuat pesanan atau tempahan bunga, cuba dapatkan dedaun hijau seperti Staghorn, Silver lace ferns, Boston ferns, Portos, String of hearts, String of pearls dan Pilea.
5. HANDI KRAF DIY
Tunjukkan kemahiran anda dengan membingkaikan hasil seni kraftangan yang direka sendiri. Tanpa anda sedari, sentuhan peribadi ini dapat mengubah penampilan sudut kegemaran anda dan memberikannya karakter tambahan.
Adakan galeri gambar di rumah dan jadikan ia sebagai sorotan utama di sudut pilihan. Padankan dengan cermin kecil dan hiasan seperti bunga yang dapat memberikan penampilan yang berbeza pada dinding.
Selain itu, anda juga boleh ikat dan satukan ranting eucalyptus atau kayu putih. Ia mudah kering dan mempunyai haruman wangi. Tepatlah jika dijadikan sebagai hiasan dinding di rumah.
6. BEKAS KUIH
Hias semula penutup bekas kuih dengan cat kapur dan ornament glue pen. Anda juga boleh memberi penampilan baru pada corak botol dengan menggunakan pelekat Japanese Washi yang direka dalam pelbagai warna dan corak, mudah di beli secara online. Pilih yang bermotif untuk dipadankan dengan alas kusyen atau corak bunga serta fabrik berenda serta aneka warna untuk hiasan botol.
Mudah kan? Jom kemas rumah sebelum Raya!
Kredit tips & imej: https://berita.mediacorp.sg/mobilem/gayahidup/6-panduan-mudah-untuk-hias-rumah-anda-bagi-hari-raya-circuit/4448624.html




