6 TIPS PEMILIHAN JENIS LAMPU UNTUK PENCAHAYAAN RUANG KEDIAMAN
Setiap ruang kediaman memerlukan teknik pencahayaan yang mempengaruhi perbezaan mood dan suasana. Mari kita kenal pasti pemilihan lampu dan fungsi jenis-jenis lampu yang boleh digabung dan boleh digunakan secara lebih efektif mengikut keperluan di setiap ruang!
1. Ruang Tamu
Ruang tamu adalah ruang yang menjadi fokus utama di setiap kediaman untuk berkumpul dan meluangkan masa bersama keluarga. Pelbagai aktiviti yang dilakukan seperti menonton filem, makan malam bersama ataupun melayan tetamu sudah semestinya memerlukan pencahayaan yang sesuai untuk menciptakan suasana ceria dan selesa.
Kipas Siling Berlampu
: Kipas siling kini didatangkan bersama set lampu yang dapat menerangi ruang tamu agar fungsinya lebih efektif dan boleh dipertimbangkan kalau anda mahu lebih selesa dengan cahaya samar-samar dan tidak terlalu terang ketika menonton filem atau TV.
Downlight
: Lampu jenis ini biasanya dipasang dipermukaan siling. Lampu ini sering menjadi pilihan ramai malah turut popular terutamanya dipasang di ruang tamu.
Lampu Berdiri
: Lampu berdiri dan lampu meja adalah pilihan yang terbaik. Lampu jenis ini mampu menghasilkan pencahayaan bagi persekitaran lebih selesa tanpa menggunakan tenaga eletrik yang berlebihan.
2. Dapur
Selain ruang tamu, dapur juga adalah sebahagian ruang kediaman yang sangat penting. Pemilihan sumber pencahayaan bagi ruang ini haruslah sesuai untuk melakukan aktiviti seperti memasak bagi mewujudkan suasana yang santai.
Lampu Gantung
: Pilihan lampu jenis ini yang dikenali sebagai pendant lighting biasanya dipasang tergantung dari siling menggunakan tali atau rantai besi. Lampu gantung yang dipasang di atas kitchen island mampu memberikan elemen deko dan menambahkan personaliti kepada ruang dapur anda.
3. Ruang Makan
Satu lagi ruang kediaman yang sering menjadi tumpuan adalah ruang makan. Pemilihan lampu malap atau penggunaan penyelaras dimmer dapat membantu mewujudkan persekitaran mengikut kesesuaian seperti yang anda inginkan.
Lampu Chandelier
: Ruang makan adalah bahagian kediaman yang paling sesuai untuk penggunaan lampu chandelier. Satu perkara penting harus diberikan perhatian ketika proses pemasangan: pastikan bahagian bawah lampu chandelier anda berada 30 hingga 35 inci dari aras permukaan meja.
Downlight
: Downlight dipasang di sudut dinding untuk mewujudkan titik sempadan yang mengelilingi lampu chandelier. Fungsinya adalah menerangi ruang bila diperlukan dan memberi pencahayaan tambahan untuk semua ruang utama.
4. Bilik Tidur
Bilik tidur perlu mewujudkan suasana harmoni dan tenang. Pendapat pakar mengatakan bahawa pencahayaan malap dan tidak terlalu terang adalah suasana terbaik untuk bilik tidur. Sebaliknya, lampu berwarna putih dan terang seperti lampu kalimantang boleh menyebabkan tidur anda terganggu.
Lampu Dinding
: Selain menambah personaliti kepada persekitaran dalam bilik tidur, lampu dinding berfungsi menerangi setiap bahagian ruang tertentu dan membekalkan cahaya yang cukup.
Kipas Siling Berlampu
: Sama seperti penggunaan di ruang tamu, kipas siling berlampu memberi fungsi dua dalam satu dan boleh juga dijadikan sumber utama pencahayaan untuk bilik tidur.
Downlight
: Lampu jenis ini adalah pilihan paling selamat. Tetapi, harus dipastikan terlebih dahulu pemilihan mentol agar tidak terlalu terang malah perlu bersesuaian dengan keperluan bilik tidur anda.
5. Bilik Mandi
Waktu bersendirian kebanyakannya dihabiskan di dalam bilik mandi terutamanya bagi kaum wanita. Banyak masa diperlukan untuk bersolek di depan cermin dan memilih pakaian yang sesuai sebelum melangkah keluar rumah.
Downlight
: Downlight dengan mentol ekstra terang adalah pilihan tepat untuk bilik mandi. Pilihlah mentol lampu yang tidak mudah panas kerana ruang ini menpunyai tahap kelembapan dan suhu bilik yang tinggi ketika penggunaan pemanas air.
6. Ruang Kerja
Ruang kerja atau bilik membaca memerlukan pencahayaan yang cukup untuk membantu meningkatkan produktiviti sambil mengurangkan keletihan mata dan juga minda. Ruang yang berfungsi sebagai pejabat dalam rumah ini memerlukan sumber cahaya yang dapat memberikan fokus untuk membantu dalam tumpuan mempercepatkan tugasan.
Lampu Meja
: Lampu meja atau lampu lantai adalah pilihan terbaik untuk ruang ini. Dengan fungsi mudah alihnya, lampu meja boleh dipindahkan atau diletakkan di bahagian lain-lain mengikut keperluan.
Downlight
: Pemilihan downlight untuk ruang kerja atau bilik bacaan dapat memberi pencahayaan yang mencukupi bagi keseluruhan ruang tanpa meletihkan mata. Ini adalah disebabkan kedudukan mentol yang dipasang ke dalam siling membolehkan cahaya disebarkan sama rata untuk keseluruhan ruang.
Semoga bermanfaat!
Sumber tips dan imej: https://www.iproperty.com.my/lifestyle/6-tips-memilih-lampu-untuk-pencahayaan-tepat-di-setiap-ruang-...




