SUSUN ITEM MENGIKUT KEPERLUAN - KABINET DAPUR LEBIH KEMAS!
Pernah tak anda mengalami kesukaran untuk mencari pinggan, cawan atau bekas makanan yang disimpan di dalam kabinet? Mesti anda kena memunggah dan mengeluarkan kesemua item dan barang di dalam kabinet sebelum jumpa kan?
Ini beberapa tips dan teknik berguna untuk mengoptimumkan ruang anda dan mendapatkan ruang dapur yang kemas dan tersusun:
Apakah Item Yang Perlu Di Simpan Di Kabinet Bahagian Atas?
1. Makanan
Menyimpan makanan di dalam kabinet dapur hanya disyorkan untuk dapur yang tidak mempunyai pantri. Anda boleh meletakkan barang makanan seperti snek, pasta, tin-tin makanan dan paket minuman 3-in-1 di kabinet atas. Namun, iika anda mempunyai pantri, cuba untuk susun dan simpan makanan sebanyak mungkin supaya kabinet anda hanya menempatkan perkakas lain seperti periuk, kuali dan peralatan memasak yang lain.
2. Gelas dan pinggan mangkuk
Setelah pinggan mangkuk dan gelas selesai dibasuh, pastikan anda terus meletakkannya kembali ke tempat asal iaitu di kabinet atas. Namun, pastikan ia dikeringkan dan dilap sebelum disusun di dalam kabinet bagi mengelakkan kabinet anda lembap dan rosak.
3. Bekas penyimpanan makanan
Simpan bekas penyimpanan plastik seperti tupperware, bekas pakai buang, sudu, plastik dan lain-lain di kabinet atas. Susun dan aturkan mengikut jenis dan saiz bagi memudahkan anda untuk mencarinya di lain hari. Anda juga boleh mengasingkannya dengan cara mengagihkannya ke dalam bakul besar supaya ia tidak bercampur dengan jenis yang lain.
Apakah Item Yang Perlu Di Simpan Di Kabinet Bahagian Bawah?
1. Peralatan dapur
Simpan peralatan dapur seperti pisau atau tempat pemotong di dalam kabinet bawah tepat di bawah kawasan kerja utama anda bagi memudahkan anda untuk mengakses dan mengambil semasa menyediakan makanan. Sekiranya anda menggunakan perkakas setiap hari, pertimbangkan untuk mengalihkannya ke kaunter kabinet anda.
2. Periuk dan kuali
Simpan periuk dapur dan kuali anda di kabinet bawah. Letak secara terbalik bagi memudahkan anda untuk menyusun periuk lain di bahagian atas. Aturkan ruang penyimpanan kuali di bahagian yang paling dekat dengan rak pengeringan atau tempat mencuci pinggan untuk penyimpanan mudah.
3. Barang pencuci
Simpan barang pencuci atau produk pembersihan dapur anda di kabinet bawah, sebaiknya di bawah sink. Sekiranya anda mempunyai kanak-kanak kecil atau haiwan peliharaan, pastikan anda mengunci kabinet tersebut bagi menghalangnya daripada mudah dibuka oleh kanak-kanak. Elakkan daripada menyimpan produk pencuci di atas atau di rak yang sama sebagai barangan makanan.
Semoga bermanfaat!
Kredit tips & imej: https://tajria.com/2020757




