TIPS PEMILIHAN KERTAS DINDING
1. Titik fokal
Dalam menghias dinding kediaman, seperti yang diketahui umum perlu ada satu dinding yang dikenali sebagai titik fokus. Bahagian itu menjadi daya tarik utama berbanding dinding yang lain.
Bagi yang ingin menjimatkan penggunaan kertas dinding, anda boleh menggunakan elemen itu pada dinding utama yang menjadi titik fokus sahaja kerana ia dapat menonjolkan kelainan dan mampu memukau pandangan.
2. Motif
Terdapat pelbagai jenis kertas dinding yang dijual di pasaran tempatan. Ada antaranya menawarkan jenis tiga dimensi (3D) kelihatan asli seperti susunan bata, alam semula jadi, animasi dan corak bunga.
Tidak ketinggalan juga, kertas dinding biasa hanya menggunakan warna polos bagi menggantikan fungsi warna cat dinding. Malah terdapat pelbagai jenis warna yang unik.
Bagaimanapun, anda perlu bijak mengadunkan motif atau warna kertas dinding dengan kediaman supaya tidak kelihatan janggal memandangkan tidak semua motif sesuai untuk dipadankan dengan sudut atau ruang tertentu.
3. Suai padan
Antara fungsi kertas dinding adalah untuk menggantikan cat warna. Pastikan warna dan motif kertas dinding perlu senada dengan susun atur serta jenis perabot yang ingin disuai padan.
4. Kenal pasti jenis kualiti
Kertas dinding biasanya dihasilkan daripada pelbagai material. Tidak salah untuk mempunyai pengetahuan mengenainya.
Antara yang terdapat di pasaran adalah material ‘vinyl’ yang menawarkan pelbagai warna, motif dan agak kemas. Jenis ini juga mudah untuk dibersihkan. Malah ada sesetengah kertas dinding ‘vinyl’ juga mempunyai ciri-ciri seperti kalis air dan api.
5. Tahu cara bersihkan
Setiap kediaman pastinya mempunyai cabaran berdepan dengan habuk dan kertas dinding juga sangat terdedah dengan kotoran berkenaan. Dapatkan seberapa banyak maklumat berkenaan bahan pencuci dan cara membersihkan kertas dinding sesuai dengan materialnya.
Sumber : hmetro.com.my




